Pengajaran terbaik buat Harimau Malaya

MELAKA 16 OKTOBER 2018. Jurulatih Malaysia, Tan Cheng Hoe pada sidang media selepas perlawanan Persahabatan Antarabangsa kelas A antara Malaysia dan Kyrgyzstan di Stadium Hang Jebat, Krubong. STR/ MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER

MELAKA: Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mahu barisan negara mengambil pengajaran daripada kekalahan 0-1 kepada Kyrgyzstan pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat malam semalam dalam misi persiapan penting menjelang Piala AFF November depan.

Cheng Hoe juga menganggap pertemuan itu amat positif bagi meningkatkan kekuatan mental dan fizikal pemain ketika berdepan skuad mantap di ranking ke-91 dunia itu.

Katanya, perbezaan kualiti kedua-dua pasukan tetap wujud namun kesungguhan pemain negara menafikan sebarang keistimewaan lawan amat membanggakan.

“Persembahan pemain tetap dipuji kerana berjaya merencana banyak peluang untuk meledak gol, namun setiap usaha tidak menjadi sama ada tersasar, diselamatkan pertahanan dan penjaga gol lawan.

“Apapun, aksi ini menjadi pentas untuk pemain belajar sesuatu yang positif menjelang perlawanan persahabatan berdepan¬† Maldives dan Piala AFF kelak,”katanya.

Dalam perlawanan itu, skuad bimbingan Cheng Hoe memiliki lebih sembilan percubaan bahaya yang seharusnya membuahkan hasil termasuk rembatan Nurshahrul Idlan Talaha yang terkena palang gol pada babak pertama.

Diikuti tandukan Zaquan Adha Abd Razak yang turut diselamatkan penjaga gol, Matias Pavel, selain percubaan tersasar Mohamadou Sumareh dan Akyar Rashid pada penghujung babak kedua.

Jaringan kemenangan Kyrgyzstan hadir menerusi rembatan Sagynbaev Bekzhan pada minit ke-68 menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat yang cemerlang sepanjang perlawanan.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata, kecederaan pemain pertahanan Matthiew Davies dijangka mengambil tempoh dua minggu untuk pulih, namun semuanya berdasarkan laporan doktor dan pemeriksaan lanjut.